Refleksi: Mengembalikan Keadilan Kepada Malaysia Melalui Autonomi dan Desentralisasi
Karangan ini adalah satu refleksi jujur tentang realiti politik Sabah, pengalaman sejarah yang membentuk ketidakadilan hari ini, dan mengapa autonomi serta desentralisasi bukan pilihan ekstrem, tetapi keperluan asas untuk memulihkan maruah, keadilan, dan hak penentuan sendiri dalam kerangka Malaysia yang sepatutnya setara.
1. Realiti Politik Sabah: PBS dalam GRS
Adakah PBS (Parti Bersatu Sabah) kini menjadi komponen GRS (Gerakan Rakyat Sabah)? GRS baru-baru ini menang. Adakah itu parti impian Sabah untuk autonomi, keadilan, akauntabiliti, dan MA63?
Google Gemini: "GRS meletakkan dirinya sebagai satu-satunya wadah yang realistik untuk memperjuangkan hak-hak Sabah kerana pendekatan 'Sabah Didahulukan' yang dipegangnya, yang menumpukan pada usaha bekerja dari dalam sistem dan bukannya berkonfrontasi secara terbuka dengan Putrajaya."
Google Gemini: "Kemajuan MA63: GRS dakwa telah tunaikan 13 daripada 29 tuntutan MA63 melalui libat urus secara terus dengan kerajaan persekutuan."
Pada pendapat saya, inilah sebab GRS menang. Walaupun parti Warisan memperoleh lebih banyak undi popular, GRS menang banyak kerusi melalui sokongan parti-parti lain. GRS adalah parti yang mengekalkan kestabilan—jenis yang berunding dengan kerajaan pusat untuk mengembalikan hak MA63, bukannya radikal atau melawan secara terbuka seperti parti-parti sebelum ini.
Dinamika "Tebusan" dan Kuasa Pusat
Disebabkan oleh kuasa pusat, mereka boleh bertindak mengikut suka hati. Mereka mempunyai kuasa untuk menahan sebarang usaha dan kewangan daripada disalurkan ke Sabah. Bila Sabah "kebuluran", rakyat Sabah jugalah yang merasainya.
Ianya seperti dinamika penjahat yang menggunakan orang tidak bersalah sebagai tebusan. Kerajaan pusat sentiasa mencari justifikasi, termasuk menuduh kerajaan rantau Sabah tidak setia jika kita menegaskan hak. Dengan pimpinan GRS, mungkin kita tidak dapat menjangkakan semua hak MA63 dikembalikan serta-merta, tetapi sekurang-kurangnya aktivis dan rakyat mendapat ruang dan tenaga untuk terus hidup dan berjuang.
2. Mengapa Kita Perlu Menyokong "Desentralisasi"?
Rakyat Malaysia, terutamanya di Sabah, telah berdekad menyaksikan ketidakadilan—seperti agihan "95% untuk pusat, 5% untuk Sabah". Kita terpaksa menuntut hasil sendiri dengan cara yang "baik-baik" kerana dipaksa oleh keadaan demi kelangsungan hidup.
Ideologi yang saya cadangkan ialah: Kita tidak perlu menyokong pemusatan kuasa (centralisation of power).
Kedaulatan Digital sebagai Model
Lihat sahaja bagaimana ramai pengguna X telah berhijrah ke media sosial yang berasaskan desentralisasi. Sesiapa sahaja boleh menyertai pelayan pilihan mereka atau "self-host" pelayan sendiri. Terdapat banyak protokol (bukan sekadar platform) yang wujud:
- ActivityPub (Mastodon, PeerTube, Misskey)
- ATproto (Bluesky)
- Nostr (Notes and Other Stuff Transmitted by Relays)
Saya sangat suka Nostr. Satu nota dihantar kepada banyak pelayan relay. Kalau ada 100 relay, "good luck" kepada pihak berkuasa (Hai, Pakcik MCMC!) untuk menutup setiap satu daripadanya. Dalam Fediverse, kandungan kita berada di tangan kita atau pelayan yang kita percayai. Apabila media sosial dikawal secara pusat (≥ 8 juta pengguna), penyekatan dan redaksi menjadi sangat mudah.
Sokong desentralisasi kerana ia adalah hak asasi manusia.
Google Gemini: "Desentralisasi bukan isu teknikal, tetapi maruah dan hak penentuan sendiri. Jika pusatkan kuasa di Putrajaya, rakyat Sabah dan Sarawak dilihat sebagai statistik, bukan manusia berhak ke atas tanah dan masa depan mereka."
Hujah Utama Desentralisasi:
- Hak Penentuan Trajektori Hidup: Membentuk kerajaan sendiri yang sesuai dengan budaya tempatan.
- Prinsip Subsidiariti: Keputusan dibuat oleh mereka yang paling dekat dengan masalah (isu air, jalan, dan karan di Sabah).
- Akauntabiliti: Dana dikawal rakyat, mengurangkan rasuah birokrasi.
- Lawan Ideologi Firaun: Bangkit tanpa perlu rasa takut, dan tegaskan hak kita untuk menuntut hak, bukannya merayu.
Desentralisasi adalah ubat kepada "learned helplessness" (perasaan tidak berdaya) yang telah ditanam sejak era pengkhianatan politik terhadap PBS dahulu.
3. Pengajaran daripada Sejarah PBS
Saya bertanya kepada Google Gemini: "Dulu PBS sentiasa menang dan menjadi pilihan kaum pribumi. Mengapa sekarang berbeza?"
Google Gemini: "PBS telah berubah daripada parti pemberontak kepada rakan gabungan, sekali gus melunturkan pendirian radikalnya. Dalam GRS, PBS bertindak sebagai penstabil—lebih gemar berunding daripada berkonfrontasi."
Sejarah mengajar kita bahawa apabila kuasa dipusatkan, kerajaan pusat boleh menggunakan "kewangan" sebagai senjata untuk menghukum rantau yang menentang mereka. Mereka menggunakan propaganda dan akta-akta "Ikut Suka Aku" (seperti ISA atau tekanan MCMC) untuk menyekat maklumat dan mengugut pejuang hak tanah air. Inilah kelemahan nyata pemusatan kuasa—ia memudahkan pemimpin bersikap diktator.
4. Elit, Eksploitasi, dan "Hutang" Semenanjung
Baru-baru ini, saya nampak memes yang seolah-olah menuduh Sabah dan Sarawak sengaja menyalahkan Semenanjung Malaysia secara tidak adil. Pada pendapat saya, bukan golongan elit sahaja yang terlibat.
Elit berjaya menanam ideologi bahawa "kerajaan pusat itu perlu". Apabila kuasa dipusatkan, mereka mengawal sumber asli kita. Kekayaan dari Sabah dan Sarawak mengalir ke pusat. Realitinya, infrastruktur dan ekonomi di Semenanjung—termasuk manfaat bagi para pekerjanya—secara tidak langsung dibangunkan atas dasar eksploitasi terhadap rantau kita.
Ini bukan sekadar isu 'kerajaan jahat', tetapi ketidakadilan sistemik. Kita tidak boleh lagi terperangkap dalam naratif 'syukur ada pembangunan'. Rakyat Borneo perlu bangkit menuntut akauntabiliti. Rakan-rakan di Semenanjung perlu sedar bahawa kemakmuran mereka mempunyai "hutang" kepada hak kita yang belum dipenuhi di bawah MA63. Kita menuntut pengiktirafan 3 Rantau yang setaraf dan ber-autonomi.
5. Benteng Hadapan: Mengapa Semenanjung Perlu Berterima Kasih?
Sabah dan Sarawak adalah tiang utama kestabilan Malaysia.
Google Gemini: "Namun ironinya, infrastruktur di sana masih ketinggalan. Hak mereka sering dipinggirkan, membuktikan ketidakadilan sistemik."
Adakah benar Semenanjung Malaysia selamat kerana Sabah dan Sarawak?
Ya. Secara ketenteraan, kita adalah "benteng hadapan".
- Strategik: Penguasaan di Laut China Selatan dan ZEE.
- ESSCOM: Mengawal ancaman keganasan dari selatan Filipina agar tidak sampai ke pusat.
- Kewangan: Hasil minyak dan gas dari Borneo membiayai aset pertahanan negara (jet, kapal, radar).
Sumber kami bukan untuk dieksploitasi tanpa izin. Mengambil sumber tanpa kebenaran penduduk tempatan adalah satu bentuk perbuatan mencuri. Tiada apa yang membahagiakan jika kita menikmati hasil "curi" sepanjang hayat. Satu penipuan (pelanggaran MA63) akan menyebabkan berlakunya lebih banyak penipuan untuk menutupnya.
Sudah tiba masanya untuk kita berhenti berpura-pura dan mula mengembalikan maruah kepada pemilik asalnya.
Akhirnya, masa depan Malaysia tidak boleh dibina atas eksploitasi berterusan dan pemusatan kuasa; keadilan hanya wujud apabila Sabah dan Sarawak diiktiraf sebagai rakan pengasas yang berautonomi dalam membuat keputusan, dan dihormati sebagai manusia—bukan sekadar angka dalam statistik pusat.